APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN APEL?

APEL atau Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu adalah proses pengiktirafan kemahiran dan pengetahuan berasaskan pengalaman terdahulu yang belum pernah dinilai atau diberi kredit sebelum ini.

Pengalaman tersebut adalah daripada pembelajaran formal atau tidak formal seperti pengalaman kerja, kursus jangka pendek, khidmat masyarakat atau kerja sukarela, pembelajaran kendiri dan aktiviti riadah. Oleh kerana pembelajaran tersebut tidak pernah dinilai sebelum ini, pemohon APEL perlu mengemukakan bukti (seperti laporan, portfolio, projek, prestasi, tugasan bertulis, lisan, wawancara, dan lain-lain) yang akan dinilai dan disahkan oleh penilai yang diiktiraf olehMQA.

Sijil APEL yang anda perolehi bermaksud pembelajaran terdahulu dan pengalaman profesional anda telah diiktiraf secara rasmi. Ianya boleh menyumbang kepada kelayakan anda untuk mengikuti program pengajian di universiti yang mana mungkin syarat kemasukan akademik tidak dapat dipenuhi sebelumnya.

APEL berpotensi memberi impak yang ketara bagi mereka yang melalui kehidupan dan pengalaman kerja, telah memperoleh pengetahuan, kemahiran dan kebolehan analisis yang setanding dengan anugerah pendidikan yang lebih tinggi.

Tujuan utama pensijilan APEL adalah untuk memberi peluang kepada individu yang tidak dapat mengikuti pendidikan yang lebih tinggi pada awalnya disebabkan kekangan kelayakan akademik, ekonomi atau faktor-faktor lain. Beberapa program di pelbagai institusi pengajian tinggi menerima pengambilan menggunakan pensijilan APEL. Bagaimanapun calon dinasihatkan menyemak sama ada penggunaan sijil APEL diterima untuk program yang ingin mereka ikuti.

Sehingga kini penilaian APEL telah dibuka untuk EMPAT peringkat kemasukan iaitu:

1.  Kemasukan ke program Sijil (APEL T-3)
2.  Kemasukan ke program Diploma (APEL T-4)
3.  Kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6)
4.  Kemasukan ke program Ijazah Sarjana (APEL T-7)

Di Pusat APEL UTM, kami menyediakan penilaian APEL untuk kemasukan ke program Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana sahaja.

*Semua pemohon adalah tertakluk kepada penilaian APEL yang dijalankan oleh Pusat APEL UTM yang akan membawa kepada pemberian akses kepada program.
 *Kelayakan bagi memohon akses ke sesuatu program menggunakan APEL tidak menjamin kemasukan. Sebaliknya, keperluan kemasukan mesti mematuhi syarat/keperluan yang ditetapkan oleh fakulti/universiti/badan profesional yang berkaitan.