PUSAT PENILAIAN APEL UTM

Universiti Teknologi Malaysia adalah antara universiti awam pertama yang diberi kelulusan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menubuh dan mengendali pusat penilaian APEL. Ini adalah satu pencapaian besar untuk UTM dalam menyokong pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pembelajaran sepanjang hayat berperanan untuk menaik taraf golongan berpendapatan pertengahan dari peringkat pendidikan rendah ke peringkat kelayakan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah individu, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sering terhalang oleh kekurangan kelayakan akademik formal walaupun telah mempunyai pengalaman bekerja dan pengalaman pembelajaran yang lain. Oleh itu, pengakreditasian pengalaman pembelajaran terdahulu akan menyediakan lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran, dan Pusat Penilaian APEL UTM (PPA UTM) akan menyediakan sokongan untuk keperluan pensijilan tersebut.

Pusat ini menekankan proses penilaian dan prosedur berkualiti, yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MQA. PPA UTM mula beroperasi pada November 2018. Peranan utama pusat ini ialah untuk menjalankan penilaian APEL untuk calon yang berhasrat untuk menyertai program Ijazah Sarjana Muda (T6) atau program Ijazah Sarjana(T7). Pusat ini akan menjalankan semua proses penilaian pembelajaran terdahulu sehingga penganugerahan pensijilan APEL untuk calon yang berjaya.

Sijil APEL akan membolehkan calon untuk memohon program pilihan di institusi pengajian tinggi. Walau bagaimanapun calon dinasihatkan untuk menyemak dahulu sama ada sijil APEL diterima untuk kemasukan program yang mereka pohon di institusi yang dipilih.